Monday, November 28, 2011

Pindaan AUKU 1971


Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang sering menjadi igauan dan penjara besi kepada pemikiran mahasiswa dan mahasiswi di negara Malaysia sejak sekian lama akhirnya telah dipinda setelah diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak.

Pada 31 Oktober 2011, Mahkamah Rayuan telah memutuskan bahawa Seksyen 15(5) Akta Universiti dan Kolej Universiti yang membenarkan universiti mengambil tindakan disiplin terhadap pelajarnya adalah tidak sah dan mencabul hak kebebasan untuk bersuara.

Dalam pada itu Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, keputusan kerajaan untuk meminda seksyen itu menunjukkan bahawa kerajaan mengiktiraf hak yang dijamin oleh perlembagaan negara untuk mahasiswa menjadi ahli dalam parti politik.

Pindaan ini merupakan satu khabar berita baik kepada para pelajar universiti dan kolej universiti di Malaysia kerana bakal memberi ruang kepada mahasiswa untuk bergerak aktif dalam politik termasuk kemungkinan memegang jawatan dalam mana-mana parti politik. Tahniah diucapkan atas segala perjuangan dan pengorbanan mereka yang bersama-sama berganding bahu dalam membantah Akta AUKU 1971.

Ramai yang masih tidak berapa tahu apa sebenarnya itu AUKU atau Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971. Akta ini diwujudkan adalah bertujuan untuk membuat peruntukan bagi menubuhkan, menyelenggara dan mentadbir Universiti dan Kolej universiti, dan bagi perkara lain yang berkaitan dengannya.

Pada skop realitinya, Akta AUKU adalah satu akta yang menyekat kebebasan para pelajar untuk bersuara, dan menunjukan daya kreativiti dan inovatif mereka. Begitu juga dari sudut badan pengajar, pensyarah atau tutor kerana mereka terikat dgn akta yg menyekat kebebasan intelektual ini.

Hasil dari Akta Auku 1971 ini sebenarnya hanya akan melahirkan siswa dan siswi yang mempunyai jiwa yang memberontak, mulut yang terkunci dan tangan yang diikat. Kata-kata dan syarahan pensyarah juga perlu berhati-hati sewaktu di dalam kelas atau di dewan kuliah. Pengajaran ilmu menjadi amat terhad dan tidak berpaksikan kepada realiti.

Di Malaysia, ramai mahasiswa dan mahasiswi belajar di peringkat universiti hanya untuk mendapatkan segulung ijazah. Ada pula yang belajar hanya untuk membanggakan ibu bapa mereka sahaja. Dan kini ia lebih pada mengikut trend semasa. Contohnya selepas pelajar tamat pengajian SPM, mereka terus menyambung pengajian ke peringkat Universiti atau Kolej dan seterusnya masuk ke alam pekerjaan. Dan hasilnya, apa yang mereka belajar pun mereka sendiri tidak tahu.

Sedangkan Universiti dan Kolej atau apa pun jenis institusi pengajian itu ditubuhkan ialah bertujuan untuk memberi peluang kepada seseorang menuntut ilmu, bukan hanya sekadar belajar untuk mendapatkan kerja. Tetapi ianya juga untuk membentuk jiwa dan diri seseorang dalam kehidupan harian serta gaya pemikiran mereka dalam menyelesaikan sesuatu masalah.

Walaubagaimanapun, dengan keputusan ini diharap mahasiswa dan mahasiswi Malaysia dapat mengunakan peluang tersebut dengan sebaiknya dan tidak menyalahgunakan akta tersebut. Ini kerana kampus bukanlah tempat untuk berpolitik, tetapi landasan untuk menuntut ilmu dengan sebanyak yang boleh. Jika mahasiswa hendak berpolitik, di luar kampuslah tempatnya.

0 komentar:

Post a Comment