Pada hari ini saya dijemput untuk menjadi ahli panel bagi forum 'Remaja; Hala Tuju, Transformasi dan Cabaran' di Kampung Bestari,Berjuntai Bestari Selangor. Program ini dianjurkan oleh En Roslan lepasan Sarjana Psikologi daripada Universiti Putra Malaysia manakala barisan fasilitator terdiri daripada pelajar-pelajar dari Universiti Putra Malaysia, Universiti Utara Malaysia serta Universiti Malaya.
Mengiringi saya ke kampung tersebut ialah Saudara Hafiz yang juga merupakan Ketua Jabatan Sekuriti dan Protokol bagi ASEAN Logics Conference 2009. Perjalanan kami bermula daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada pukul 6.13 pagi dan seterusnya memasuki lebuh raya melalui Tol Jalan Duta.
Tatkala dalam perjalanan, saya tertanya-tanya agaknya apakah yang bakal menunggu di tempat yang akan kami berdua pergi ini. Laju sekali kereta yang dipandu saya menyusuri lebuh raya. Perjalanannya tidak sempat beberapa minit tetapi sudah pun kami meninggalkan lebuh raya yang luas memasuki kawasan yang lebih kecil dan berlekok lekok.
Keheningan pagi sangat tenang rasanya. Sambil rancak berbual, sempat juga kami segenap seketika sempat menyedut angin dingin di fajar hari. Ah segar sekali rasa badan. Bukan senang dapat merasai kesejukan angin kabus bergesel pada pipi yang selama ini tiap hari di tiup asap metropolitan. Di Kuala Lumpur sudah pastinya panas dek membakar diri.
Bunyi-bunyi kokokan ayam menunjukkan matahari sudah mulai naik. Pokok-pokok kelapa sawit jelas menemani kami ke arah tuju yang kami sendiri tidak tahu kedudukannya. Simpang demi simpang kami lepasi tanpa menjumpai tanda jalan raya. Akhirnya setelah beberapa ketika, kami menjumpai sebuah papan tanda menunjuk arah ke Ijok. Agak samar-samar petunjuk yang diberikan oleh En Roslan. Kemungkinan Ijok. Biarlah! Awal lagi ni! Kataku pada Hafiz. Maka kami pun membelok ke jalan tersebut. Pelik, di tengah-tengah hutan ada padang golf rupanya. Tempat itu Bandar Tasik Puteri.
Lantas saya menelefon En Roslan mengharapkan petunjuk jalan. Malang sekali panggilan saya tidak di angkat. Tidak mengapa. Kami teruskan jua perjalanan. Akhirnya kami tiba di sebuah sekolah. Di papan namanya sekolah tersebut di daerah Rawang sedangkan tempat yang kami tuju adalah Batang Berjuntai. Terus saya tanya kepada pengawal sekolah itu akan jalan ke Unisel kerana kampung tersebut berada di belakang universiti itu.
Alhamdulliah, akhirnya barulah kami tahu bahawa kami tidak sepatutnya membelok dipersimpangan Ijok tetapi meneruskan perjalanan tegak. Dan pada masa sama barulah En Roslan mengangkat telefon. Maka jelaslah jalan yang sepatutnya kami ambil. Tidak mengapa. Agaknya Tuhan mahukan kami untuk mengharungi perjalanan satu jam setengah sepertimana yang diberitahu oleh En Roslan walhal andai kata tidak sesat kami boleh sampai ke tempat dituju dalam masa 35 minit. Usah difikirkan. Pengorbanan yang sedikit ini adalah lumrah dalam ujian-ujian yang diberikan Tuhan untuk menguji kesabaran kita.
Jelas sekali disebabkan tanda jalan yang tidak jelas mahupun tidak ada terus tanda jalan raya menyebabkan kami tersesat. Namun begitu atas sikap kami mahu bertanya, kami sampai jua ke tempat matlamat kami. Apa yang dapat saya simpulkan adalah ini. Dalam kehidupan yang penuh liku-liku, penuh dengan tanda tanya tentang apa yang akan berlaku di kemudian hari, kita mestilah berhati-hati dalam membuat sebarang keputusan. Keputusan yang terburu-buru hanya akan mengakibatkan kita menyesali tindakan kita itu kelak nanti.
Tiada salahnya andai kata kita bertanya mencari pedoman kerana ada ramai lagi yang telah mengharungi pancaroba hidup ini. Apakah tidaknya. Pasti mustahil untuk kita orang muda mengalami apa yang orang lain alami. Setiao manusia mempunyai bidang-bidang kepakaran mereka sendiri. Kadang-kala orang yang paling rendah kedudukan itulah yang boleh memberikan penyelesaian dalam hidup kita. Contoh yang baik tadi adalah ketika mana pengawal sekolah yang merupakan orang lama di kawasan tersebut memberikan tunjuk ajar kepada kami berdua keluar daripada jalan yang salah.
Ini mengingatkan saya kepada sebuah cerita yang diceritakan oleh Ketua Jabatan Undang-undang Kementerian Luar Negeri di Putrajaya. Beliau berkata kepada kami di dalam mesyuarat Jabatan tersebut.
Terdapat sebuah kilang di Jepun yang sangat baik dalam menjaga para pekerja. Pada suatu hari walau bagaimanapun, pengurus kilang tersebut terpaksa mengumumkan bahawa kemungkinan besar kilang itu terpaksa tutup kerana setelah pemeriksaan keselamatan mendapati bahawa terdepat keretakan pada dinding bangunan dan ini boleh membahayakan seluruh warga kerjanya. Para pemeriksa musykil dan sangat buntu akal kerana sampai kesudahannya mereka tidak dapat mencari jawapan. Masing-masing balik dengan kecewa.
Keesokan harinya, pekebun kepada kilang tersebut dalam perjalanan menaiki keretanya terpaksa memberhentikan kereta kerana keretapi hendak melintasi jalan raya yang dilaluinya. Kemudian sesuatu terlintas di pemikiran petani ini. Barangkali retakan bangunan itu disebabkan getaran landasan keretapi yang bergegar.
Beliau terus pergi ke pejabat berjumpa dengan pengurus tersebut yang pada ketika itu mukanya gusar sekali. Sebaik jumpanya pengurus tersebut, beliau menceritakan pendapat beliau. Pengerusi itu terus mengarahkan pemeriksa keselamatan itu mengkaji pendapat pekebun tersebut. Rupa-rupanya kesimpulan yang dibuat pekebun tersebut betul. Atas kerana sifat prihatin dan berani berkata dan mengajukan soalan, maka pekebun tersebut berjaya menyelamat kilang tersebut. Dan juga pihak pengurus yang sanggup mendengar pendapat seorang pekebun tanpa syak wasangka. Ini adalah kisah yang benar terjadi suatu ketika dahulu.
Kita patut mengambil iktibar bahawa setinggi manapun kita berada, kadang-kala pendapat sesiapa sahaja walaupun tidak mempunyai kedudukan atau kepandaian setanding kita mungkin boleh dijadikan pedoman kepada kita. Jangan sesekali memandang rendah kepada mereka kerana suatu hari nanti mungkin kita seperti mereka dan mereka berdiri di tempat kita. Jelas sekali ego dan rasa tinggi diri yang menyebabkan perkara ini berlaku.
Akhir kata, saya berharap coretan saya dapat diambil iktibar walaupun konteks isinya ringkas difahami. Yang penting, kita semua dapat memperbaiki diri senantiasa menjadi insan yang tiada tolok bandingnya di mata masyarakat dan agama. Nantikan sambungan Ke-2 Kampung Berjuntai Bestari.
Perkasa Bangsa!
Akmal Saufi MK
Naib President II(Hal Ehwal Luar)
KELAB WAWASAN
Universiti Islam Antabangsa Malaysia
Sunday, May 31, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
bukan kg berjuntai bestari.kampung bestari sahaja.
ReplyDeleteThis comment has been removed by the author.
ReplyDelete