
1. Baru baru ini saya dikejutkan oleh berita mengenai Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Dr Teng Hock Nan yang menyatakan pendapat agar Chin Peng(Bekas Ketua Komunis Malaya) patut dibenarkan kembali ke Tanah Melayu. Alasan beliau untuk membenarkan tindakan sedemikian kerana atas dasar kemanusiaan.
2. Ini sangat membingungkan saya. Orang ini sudah lupakan sejarah agaknya. Mari kita lihat kembali susur galur sejarah Parti Komunis Malaya(PKM).
3. PKM ditubuhkan dan dibawa daripada Tanah Besar China untuk membawa ideologi komunisme yang kuat di tanah tersebut. Mereka menentang sehabis-habisnya konsep pemerintahan kerajaan Jepun ketika itu. Ini menyebabkan bila mana fahaman tersebut tiba di Tanah Melayu, mereka menentang habis-habisan pihak Jepun dan kemudiannya kerajaan British seterusnya kerajaan Persekutuan Tanah Melayu setelah merdeka.

4. Penentangan secara jelas bermula pada 1948 hinggalah 1960. Pada awalnya, kumpulan ini ketika penjajahan Jepun bilangannya adalah kecil. Namun begitu disebabkan bantuan ketenteraan oleh British yang takut ‘bumi emas’ mereka hilang ke tangan Jepun, mereka tanpa fikir panjang memberi kekuatan tentera kepada kumpulan kecil ini.
5. ‘Harapkan pagar, pagar makan padi’. Tanpa disedari British, rupanya kumpulan inilah yang memporak-perandakan tanah air dikemudian hari.
6. Gerakan Min Yuen dilakukan mereka. Perang saraf ini dilakukan untuk mendapatkan kekuatan tentera dan bekalan bagi aktiviti gorilla mereka.
7. Janganlah disalah tafsir, mereka yang menolong perjuangan bukan kerana kasihan tetapi kerana takut diseksa jika menolak permintaan mereka. Lantas maka diwujudkan kawasan hitam dan kawasan putih.
8. Hasrat Parti Komunis Malaya ini senang sahaja. Hendak menubuhkan Republik Komunis Tanah Melayu.
9. Ini bermaksud bahawa tiada lagi Islam sebagai agama rasmi. Tiada lagi Sultan. Tiada lagi bahasa Melayu. Apatah lagi hak dan kedudukan orang Melayu. Maka gembiralah pihak-pihak tertentu ini.
10. Sentimen pribumi diketepi, hasrat Tanah Besar di angkat.

11. Bagi kita pula, kalaulah mereka perintah sekarang, tidak perlulah kita susah susah hendak pertahan bagi benda yang tidak wujud. Tidak perlulah kita membazir masa dan tenaga hendak menjaga benda yang mereka telah hapuskan. Walaupun ini bermaksud agama kita sendiri.
12. Apakah kita sudah tidak waras?
13. Golongan ini juga menjadi hakim dan penghukum kepada sesiapa sahaja yang mereka anggap sebagai tali barut Jepun. Yang menolong Jepun sudah pasti diseksa, tapi lagi menyayat hati yang hanya dituduh pun ditarik sekali. Hebat sekali kuasa menghukum mereka.
14. Lima puluh ribu (50,000) rakyat jelata yang tidak bersalah mati di tangan mereka semata-mata mereka ingin berkuasa di peringkat persekutuan. Ini termasuklah Allahyarham Sarjan Jamil dan anggota-anggota polis berjuang sehingga ke nafas yang terakhir sebelum dibakar hidup-hidup di Bukit Kepong.
15. Jangan dipandang remeh pada setiap digit itu. Kerana ia merupakan ayah, ibu, anak, abang, adik mahupun suami seseorang tercinta. Mereka bukanlah sekadar nama tapi individu-individu yang mahu menghabiskan sisa hidup bersama orang tersayang.
16. Jika ingin membicarakan keadilan, disinilah masanya. Berikanlah keadilan kepada mangsa-mangsa kezaliman manusia bernama Chin Peng ini. Jangan disia-siakan nyawa lima puluh ribu (50,000) orang ini.
17. Atas titik ini kita bersatu katakan TIDAK.
18. Ingatlah, sedangkan Islam ada hukuman buang negeri bagi orang yang menentang pemerintah danmenghacurkan negara, takkanlah kita mahu menerima Chin Peng semula.
19. Kalau mahukan juga, saya saran alang-alang begitu bolehlah kita benarkan segala perompak, penyamun, pembunuh dan pengganas kembali ke tanah bumi Malaysia ini.
20. Kasihan mereka rindukan kampung halaman.
AKMAL SAUFI MK
Naib Presiden II(Hal Ehwal Luar)
WAWASAN CLUB
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Adalah lebih adil jika kita mendengar hujah dari pihak yang satu lagi ..
ReplyDeleteAntara nya ..
---
Pejuang Melayu UMNO disebut sebagai ..
Menjadi anak didik penjajah dan bekerja dengan penjajah, hidup sebagai golongan bangsawan dan bersekutu dengan penjajah untuk membunuh orang melayu Islam itu di katakan perjuang kemerdekaan? Dalam kebanyakan buku-buku yang telah saya baca termasuklah buku Kisah Singapura yang di tulis oleh sekutu Tengku Abdul Rahman sendiri Lee Kuan Yew belum ada yang tidak mengatakan bahawa UMNO itu pejuang kemerdekaan. Malah di dalam buku memoir ketua kaum ibu UMNO Srikandi Khatijah Sidik sendiri menceritakan bagaimana cara kehidupan para pemimpin UMNO ketika itu. Mereka adalah sebahagian manusia yang SEBENARNYA menjadi talibarut penjajah. Mereka semua telah bersubahat dengan penjajah di dalam menangkap dan memenjarakan pejuang-pejuang seperti Boestaman, Burhanudin dan dan lain lagi UMNO adalah parti ciptaan dan warisan penjajah yang di tubuhkan bagi menyambung kesinambungan idiologi kapitalis penjajah.
Mengenai 'sejarah' Bukit Kepong ..
Sekali lagi kerajaan cuba membawa rakyat dengan kisah dongeng Bukit Kepong arahan Jins Samsudin. Polis dan tentera yang bekerja dengan penjajah di katakan wira. Hukum akal yang macam mana yang di gunakan jika polis dan tentera ketika itu di kata pejuang kemerdekaan. PKM mengangkat senjata menentang penjajah dan polis pula mempertahankan penjajah dengan menentang mereka. Bagaimana mengatakan bahawa yang menjadi talibarut penjajah itu pejuang kemerdekaan.
Jika hendak di kirakan perasaan pernahkah kerajaan terpikir selama ini dengan perasaan orang lain yang telah di zalimi UMNO. Bagaimana dengan perasaan balu syuhada Memali yang kehilangan suami mereka yang di bunuh secara kejam oleh polis atas arahan UMNO. Bagaimana dengan perasaan keluarga Kugan dan lain lain tahanan lokap yang mati ketika di tahan? Bagaimana pula dengan persaan keluarga tahanan ISA yang di kurung tanpa bicara oleh UMNO? Bagaimana pula perasaan pejuang pejuang tanah air yang kini berada di Thailand yang amat merindukan tanah air mereka. Darah perjuangan pro penjajah sentiasa mengalir segar di dalam tubuh pihak ini.
Parti Komunis Malaya juga tidak mengamalkan athiesme. Walaupun prinsip utama komunisme yang ditulis oleh Karl Marx tidak mempercayai tuhan dan menyatakan bahawa agama itu adalah candu manusia, namun apa yang berlaku di tanah melayu pada waktu itu ialah mereka mengamal prinsip keagamaan seperti mana yang kita dapat lihat dalam salah seorang tokoh parti komunis malaya iaitu Rashid Maidin, Abdullah C.D dan Suraini Abdullah. Mereka tetap mendirikan solat lima waktu seperti mana yang dituntut oleh agama islam walaupun di dalam hutan semasa perjuangan. Mereka juga telah menunaikan ibadah haji. Sememangnya Rashid Maidin adalah seorang yang warak dan berilmu agama yang tinggi malah beliau juga mengajar cucunya dan beberapa budak-budak kampung membaca Al Quran dan Tajwid.
Pihak berkuasa sememangnya perlu membetukan fakta dan hakikat sejarah yang sebenar-benarnya. Kita sudah berada di kurun ke 21. Cerita kura-kura dengan arnab sudah tidak releven lagi. Bagi setengah pihak Chin Peng Dan PKM adalah pejuang sebenar kemerdekaan tanah air hatta jika di bandingkan dengan PAS sekali pun perjuangan PKM adalah adalah perjuangan suci yang terulung. Perjuangan kemerdekaan PAS hanyalah bermula dengan penglibatan Dr Buhanudin al Helmi yang menjadi YDP Pas ketiga, jika tidak Pas langsung tidak boleh menumpang bangga dengan perjuangan kemerdekaan. Jika Pas sendiri hanyalah picisan dari perjuan kemerdekaan tulin apatah lagi dengan talibarut British yang bernama UMNO itu.
---
Ini lah antara jawapan balas pihak tertentu yang tidak hanya terikut dengan arus perdana senario politik negara ..
Mereka melihat suatu isu dari perspektif yang lain dan berbeza ..
.. bersambung ..
.. bersambung ..
ReplyDeleteMelalui penulisan mereka, saya kira mereka cuba merasionalkan setiap tohmahan membabi buta pihak tertentu terhadap perjuangan PKM dan Chin Peng ..
"Andaikan senario kita sebagai pejuang PKM, dengan niat membebaskan Tanah Melayu dari penjajah yang bermain tali sepanjang masa. Setelah Jepun tewas masih tetap di Tanah Melayu. Kita merasa muak dengan permainan politik yang seperti dipermainkan ini. Kita merasa muak dengan kebodohan pihak tertentu yang masih setia menjadi badut di sarkas. Sehingga bila? Mengapa pihak ini masih tidak sedar dan tidak faham? Adakah mereka terlalu bodoh atau buta? Rela dijadikan anjing penjajah? Sedangkan perjuangan PKM adalah untuk mengusir penjajah secara terus. Mngkin kekerasan adalah jalan penyelesaian. Tapi sebelum itu perlu untuk kita sebarkan ideologi kita. Jika mereka berdegil, DEMI NEGARA kita wajar menghapuskan semua anasir penjajah dan siapa sahaja yang menghalang perjuangan kita!!"
Secara peribadi saya sendiri tidak ingin melihat Chin Peng pulang ke Tanah Air .. tetapi saya mahu kita rakyat Malaysia faham mengapa Chin Peng tidak wajar kembali ke Tanah Air setelah menjadi kan Malaysia sebagai Tanah Berdarah .. Dan bagi saya sejarah Malaysia boleh dipertikaikan oleh mereka yang suka mempertikaikan sesuatu fakta itu ..
Tetapi memang benar kerana SEJARAH SENDIRI MEMBUKTIKAN SEJARAH BOLEH DIPERTIKAIKAN ..
Salam Penulisan,
AMIRUL HAZIQ NOORDIN